Sunday, October 10, 2010

Ribuan ikan Sungai Rajang timbul

Selepas dikejutkan dengan fenomena luar biasa sisa balak dan kayu terapung di Sungai Rajang, sejak Khamis lalu, penduduk yang tinggal di tebing sungai terpanjang di Malaysia itu sekali lagi dikejutkan dengan kejadian luar biasa, kelmarin.



Kali ini, bukan sisa kayu terapung yang membuatkan perhatian terarah ke sungai yang mengalir deras itu, tetapi ribuan ikan air tawar termasuk patin, labang, jelawat dan kaloi yang timbul di permukaan dipercayai mabuk akibat lumpur tebal yang memenuhi sungai berkenaan.


Keadaan itu menyebabkan penduduk di tebing Sungai Rajang bagaikan berpesta, menangkap ikan mabuk itu yang ada antaranya mencecah berat sehingga 20 kilo gram seekor.



Kejadian ikan bersaiz besar timbul itu tidak pernah berlaku sebelum ini dan penduduk percaya ia ada kaitan dengan kejadian tanah runtuh di kawasan pembalakan di Sungai Baleh iaitu salah satu cabang Sungai Rajang.